http://unkelhafiz.blogspot.com/
Apabila disebut Barbossa, saya yakin ramai dalam kalangan kita akan terbayangkan watak seorang lanun memakai penutup sebelah matanya seperti yang terdapat dalam filem Pirates of The Carribean. Namun tahukah kita, sebenarnya watak Hector Barbossa adalah watak yang diadaptasikan dari watak tokoh Islam yang popular dalam dunia peradaban Islam dahulu kala. Barbarossa bererti janggut merah dalam bahasa Itali. Hanya terdapat tiga tokoh besar dunia yang berjanggut merah, iaitu Maharaja Frederick daripada Rom (1123-1190) dan dua orang adik-beradik iaitu Aruj dan Khairuddin atau disebut dengan Hayreddin, kedua-duanya dari Turki.
Pemandangan dari Gibraltar. Sebelah kiri Afrika dan Sepanyol di sebelah kanan.
Sebermulanya era Perang Salib, Eropah telah melancarkan misi Reconquista iaitu misi penaklukan kembali wilayah-wilayah Eropah. Satu persatu bandar-bandar yang mempunyai peradaban yang maju mulai jatuh, Lisboa, Merida, Cordoba, Valencia, Murcia, Sevilla dan kemuncaknya dengan kejatuhan Granada pada tahun 1492M. Bangsa Moor di wilayah Andalusia terpaksa melarikan diri ke Afrika utara kerana misi Reconquista diteruskan dengan misi pembunuhan umat Islam iaitu dengan pembersihan beramai-ramai kaum muslim, sebahagian dipaksa murtad dan sebahagian lagi bersembunyi di pergunungan.
Reconquista (790-1300)
Pada zaman inilah, terdapat dua orang adik beradik yang menjadi pelaut dan biasa berlayar di wilayah perairan Yunani dan Turki. Mereka bernama Aruj dan Hayreddin. Suatu hari kapal mereka telah diserang kapal tentera St. John of Jerusalem atau biasa disebut sebagai Knight of Rhodes. Kejadian ini telah membuatkan adik bongsunya terbunuh. Sejak daripada saat itu, Aruj dan Hayreddin menjadi lanun dan melakukan rompakan ke atas semua kapal-kapal tentera Kristian. Kegiatan ini sangat menggemparkan dan sangat ditakuti oleh tentera Kristian. Mereka dikenali sebagai lanun Barbarossa Brothers kerana kedua-duanya berjanggut merah. Makna negatif Barbarossa dipropagandakan hingga sekarang oleh barat, contohnya perompak pada komik Asterix dan watak Captain Barbossa dalam filem Pirates of the Carribean.
Preveza, tempat berlangsungnya perang antara Andrea dan Barbarossa
Pada tahun 1538, pakatan sekutu Itali dan Sepanyol telah berperang di Preveza yang berada di teluk Actium, tempat pertempuran Octavian melawan Antonius dan Cleopatra dahulu kala. Preveza merupakan pelabuhan penting di Laut Tengah ketika ini. Andrea memimpin 40 kapal dan Barbarossa dengan 20 kapal, namun dengan kepintaran Barbarossa dalam mengatur strategi dan pengetahuannya yang mendalam ke atas bentuk muka bumi dan geografi tempat pertempuran, pada waktu pagi sebelum pertempuran bermula, armada Barbarossa telahpun bersiap sedia di mulut teluk Preveza dari tiga arah dan telah mengebom armada Andrea sehingga armada Andrea berundur dari pertempuran. Barbarossa tidak ingin berperang di laut lepas kerana kapal-kapal armada laut Sepanyol mempunyai kawalan dan kelengkapan yang lebih canggih.