semut-semut yang prihatin

semut-semut yang prihatin
semut-semut yang prihatin

Rabu, 22 Jun 2011

Kota Yang hilang:Angkor Wat.

Angkor Wat menjadi bukti pembangunan yang tidak menggunakan peralatan moden.

PENGALAMAN untuk melihat Angkor Wat berdiri di hadapan mata merupakan peluang yang tidak harus disia-siakan jika berkunjung ke bandar Siem Reap, yang merupakan bandar kedua terbesar di Kemboja.

Penduduk tempatan yang berpakaian tradisional menunggu kehadiran pengunjung.

Seni binanya sahaja sudah cukup untuk membuatkan penulis meluahkan rasa kagum bagaimana masyarakat di zaman dahulu kala mampu membina sebuah bangunan yang bukan sahaja gah dari segi saiz tetapi turut mempunyai struktur yang sangat kompleks.

Pengunjung mungkin akan terserempak dengan kumpulan sami semasa berada di Angkor Wat.

Sudah pasti soalan yang akan berlegar di minda ialah bagaimana sebuah bangunan sebesar itu boleh dibina tanpa bantuan peralatan moden?

Ukiran yang menerapkan unsur agama Hindu antara yang menghiasi dinding Angkor Wat.

Tidak ketinggalan, pengunjung juga seakan-akan ‘dipaksa’ untuk meluangkan masa yang panjang bagi memahami kronologi sejarah penting negara tersebut yang diabadikan menerusi kehalusan seni ukiran di setiap dinding utama.

Bukan sesuatu yang menghairankan apabila melihat kebanyakkan ukiran tersebut seperti dipengaruhi oleh agama Hindu dan Buddha, memandangkan kedua-dua agama itu pernah menjadi agama rasmi negara ini.

Angkor Ta Prohm menjadi lokasi penggambaran filem aksi Tomb Rider lakonan Angelina Jolie.

Hari kedua lawatan, semua anggota rombongan diarahkan untuk bersiap seawal jam 4.30 pagi kerana menurut pemandu pelancong kami, Ton Phirom, satu cara terbaik untuk mengabadikan kenangan adalah dengan melihat matahari terbit berlatarbelakangkan Angkor Wat.

Meskipun jam baru menunjukkan pukul 5 pagi waktu tempatan, kawasan sekitar Angkor Wat telah mula sibuk dengan kerlipan cahaya lampu suluh pengunjung yang berpusu-pusu untuk mencari tempat terbaik bagi merakamkan detik istimewa itu.

Tiada kata yang dapat diungkap untuk menyatakan betapa indahnya apabila sinaran matahari mula menembusi setiap ruang monumen agung yang dibina oleh Raja Suryayavanan 11 pada abad ke-12 itu.

Untuk melihat matahari terbenam bagaimanapun bukanlah semudah melihat matahari terbit kerana pengunjung perlu mendaki bukit yang terletak berhadapan dengan Angkor Wat.

Tinggalan Angkor Wat menarik minat pengunjung untuk berkunjung ke Kemboja.

Jika tidak memakai pakaian yang sesuai untuk mendaki, pengunjung boleh memilih untuk mendapatkan perkhidmatan gajah dengan bayaran sebanyak AS$20 (kira-kira RM60) untuk ke puncak bukit.

Setibanya di puncak, pengunjung perlu mendaki sebuah lagi bangunan lama untuk mencari sudut terbaik bagi merakamkan pemandangan yang boleh diumpamakan seperti sebuah lukisan sempurna.

Mendaki anak tangga bangunan tersebut bukanlah semudah mendaki anak-anak tangga di Batu Caves, kerana ianya lebih cerun dan di sebahagian tempat anak tangganya hanya selebar tapak tangan.

Justeru itu, tidak hairan apabila pengunjung perlu mengesot untuk naik dan turun kerana tidak mahu mengambil risiko terjatuh, apatah lagi apabila memikirkan berapa lama masa yang akan diambil oleh bantuan kecemasan untuk tiba jika berlaku perkara yang tidak diingini.

Berperahu di tasik yang mengelilingi Angkor Wat merupakan satu perkara yang perlu dilakukan.

Alang-alang berada di Angkor Wat, tidak rugi rasanya untuk membayar AS$15 (RM45) untuk merasai pengalaman berperahu di tasik buatan manusia yang dibina mengelilingi Angkor Wat.

Uniknya, perahu tersebut dibina dengan mengambil kira reka bentuk perahu sebenar yang digunakan oleh pembesar di zaman lampau.

Menurut Ton Phirom, pada zaman kegemilangan Angkor Wat, tasik tersebut dipenuhi dengan buaya sebagai langkah untuk melindungi Angkor Wat daripada serangan musuh.

Selain Angkor Wat, terdapat banyak lagi angkor yang sedia diterokai seperti Ta Prohm Kel, Bakheng, Angkor Thom, Bayon, Bapuon, Elephant Terrace, Laper King dan banyak lagi.

Akar pokok yang menjalar di Angkor Ta Prohm menjadikan ia pilihan utama pengunjung untuk bergambar.

Selain itu, tidak ada salahnya untuk mengeluarkan AS$1 (RM3) untuk mengambil gambar dengan penduduk tempatan yang memakai pakaian tradisional sebagai lambang kenang-kenangan.

Walaupun terdapat kira-kira 300 wat yang bermaksud kuil di sekitar Siem Reap, penduduk tempatan percaya masih ada lagi kuil yang tersembunyi, menunggu masa untuk ditemui oleh individu bertuah.

Ini kerana, penduduk percaya tiada satu pun wat dibina sehingga siap, kerana sifat pemerintah yang saling bersaing untuk membuktikan siapakah yang lebih banyak membina wat. Kepercayaan penduduk tempatan bahawa nombor sembilan sebagai nombor bertuah menyebabkan angka tersebut sinonim dengan penduduk tempatan, yang menggunakan ia sebagai nombor pendaftaran kereta, nombor telefon dan juga alamat rumah.

Malah, pembinaan Angkor Wat juga tidak terkecuali apabila dibina sebanyak sembilan tingkat.

Bangunan Angkor Wat masih digunakan oleh sami Budha untuk tujuan beribadat.

Pengunjung yang berhasrat untuk menerokai setiap ceruk Angkor Wat juga perlu membuat sedikit kajian supaya lawatan itu benar-benar berbaloi.

Bukan apa, monumen bersejarah yang telah diiktiraf sebagi Taman Arkeologi Angkor oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) masih digunakan oleh sami-sami Buddha sebagai tempat beribadat.

Sami-sami ini akan berpuasa sehari pada setiap minggu mengikut pusingan kalendar tempatan, menyebabkan tingkat paling atas Angkor Wat ditutup kepada pengunjung kerana digunakan untuk beribadat sehingga tiba waktu berbuka.

Peminat filem aksi Tomb Rider pasti tidak akan melupakan aksi lincah pelakon berbibir seksi, Angelina Jolie beraksi di sebalik akar-akar kayu di sebuah kuil lama pada tahun 2000.

Jangat terperanjat jika diberitahu, aksi tersebut sebenarnya dilakonkan di salah sebuah wat, iaitu Angkor Ta Prohm yang terletak kira-kira 2 kilometer daripada Angkor Thom.

Menurut penduduk tempatan, akar-akar kayu itu mula tumbuh menjalar pada dinding Angkor Ta Prohm selepas ia ditinggalkan oleh penduduk untuk masuk ke hutan selepas peperangan tercetus.

Bagi peminat Angelina, jangan lupa mengambil kesempatan berada di Siem Reap untuk bergaya persis isteri kepada pelakon terkenal, Brad Pitt kerana sudah pasti ia menjadi kenangan terindah di Siem Reap.

kredit to.SALWA SHA’ARI

menyingkap misteri angkor wat

Tiada ulasan:

Catat Ulasan