semut-semut yang prihatin

semut-semut yang prihatin
semut-semut yang prihatin

Sabtu, 23 Julai 2011

Tenggelam & Tumbuh Semula.

Tiada penjelasan kukuh dalam menerangkan usia bumi yang sebenar. Bumi mungkin sudah berusia jutaan tahun atau mungkin sahaja bilion tahun. Namun tempoh masa antara manusia pertama, Adam hingga Nuh tidak juga dapat dipastikan tempoh masa yang diambil.

Berdasarkan Biblical Arkeologi, tempoh tahun antara Adam hingga Nuh dikatakan bermula 5000 SM (Sebelum Masihi) hingga 3005 SM, juga namun terdapat banyak versi Biblical dalam menjelaskan perkiraan tarikh yang sebenar. Berpandukan Biblical Arkeologi juga dianggarkan tempoh masa yang diambil adalah kira-kira 1000 tahun lebih. Pun begitu, tempoh masa masih tidak dapat dipastikan dengan jelas.

Menurut fakta geologi, usia batu yang paling tua di bumi ialah berusia kira-kira 3.9 bilion tahun manakala batu mineral (contoh: dari kelompok natrium) tertua pula dianggarkan berusia kira-kira 4.2 bilion tahun. Usia bumi ketika tanpa manusia sehingga Adam diturunkan ke dunia pula tidak dapat dipastikan.


Abad ke-20 Selepas Adam

Maka, jarak antara tempoh Adam hingga Nuh kita simpulkan dengan perkiraan mudah iaitu mengambil masa kira-kira 1995 tahun. Jarak masa antara Adam hingga Nuh, 1995 tahun atau bersamaan kira-kira 20 abad.

Jika dilihat dari satu sisi lain, jarak masa antara permulaan tahun Masihi hingga tahun 1995 Masihi menyaksikan pertumbuhan tamadun manusia menjadi semakin canggih dari segi pencapaian teknologi, itu tidak termasuk masalah moral. Pada tahun 1995 Masihi, internet sudah mula digunakan secara meluas di Amerika dan Eropah. Sistem perhubungan radio pula semakin berkembang dalam rentak pantas, manakala hiburan televisyen dan budaya popular serta budaya jalanan dan juga hedonism pula semakin galak bertumbuh. Kesimpulan minor di sini ialah, perjalanan sejarah manusia selama 20 abad Masihi telah menyaksikan pertumbuhan tamadun yang sangat maju. Premis.


Manusia dan naluri ingin maju

Adam diciptakan dengan dibekalkan akal yang sempurna oleh Allah. Akal yang dibekalkan itu pula disusuli dengan diberikan pengetahuan, manakala pengetahuan itu pula adalah pengetahuan tulen dari syurga. Adam menerima ilmu daripada Allah. Maka, Adam adalah manusia bijak dan tidak bodoh. Setuju?

Selepas Adam diturunkan ke dunia, manusia pertama itu kemudian membina kehidupan fana untuk terus maju dan terus hidup sepanjang hayatnya. Mudahnya, manusia berakal (apatah lagi pengetahuan Adam dibekalkan oleh Penciptanya) sudah pasti Adam gigih membina peradaban atau tamadun. Dengan itu, tamadun asas yang dibina Adam sudah pasti mengalami perkembangan dan kemajuan secara berperingkat-peringkat apabila keturunannya mula mengisi populasi bumi ketika itu.

Dalam tempoh 1000 tahun pula, tamadun itu terus berkembang maju dengan menyaksikan kemampuan manusia mencipta pelbagai teknologi asas atau pra-moden (belum sampai peringkat moden) bagi meneruskan kelangsungan hidup. Teknologi asas seperti pertanian, penternakan dan pengairan mungkin sahaja menjadi sentuhan penting dalam membina tamadun. Aspek-aspek teknologi itu juga adalah asas dalam pembinaan sesuatu tamadun yang bersistem.

Kemampuan akal manusia dalam melakukan inovasi terhadap teknologi asas pula terus berlangsung bagi menjadikan sesuatu teknologi itu semakin memudahkan kerja harian manusia. Sistem pengairan asas dimajukan dengan sistem perparitan, paip, pembentungan dan sebagainya yang semakin canggih mengikut peredaran masa dan zaman. Pertanian yang dimajukan secara bersistem mengikut jenis tanaman pula terus berkembang dengan teknologi yang lebih memudahkan. Segala jenis teknologi pada ketika itu pula mengalami inovasi secara berperingkat-peringkat, sesuai dengan kemampuan akal manusia dalam merekacipta sesuatu peralatan bagi memudahkan kerja harian.

Tempoh 1000 tahun berikutnya pula tidak mustahil menyaksikan perkembangan teknologi yang menghampiri kemuncak, ia juga tidak mustahil memperlihatkan kemampuan manusia mencipta lebih banyak teknologi canggih menggunakan segala sumber yang ada di muka bumi.

Kemajuan itu pula mencakupi penerokaan bidang-bidang baru, juga sesuai dengan kemampuan akal manusia dan kemampuan manusia membina tamadun. Ia tidak berlaku sekelip mata, ia berlaku secara berperingkat. Ia termasuk kemampuan manusia sebelum Banjir Besar sudah bijak menggunakan teknologi nuklear.

Sisa reaktor nuklear berusia 2 bilion tahun

Pada 1970-an (tahun Masihi), sekumpulan pengkaji menemui sebuah reaktor nuklear di Afrika. Reaktor itu dipercayai berusia 2 bilion tahun dan mengandungi sisa uranium fisil dan uranium karbon yang lazim digunakan sebagai penjana elektrik serta senjata perang seperti yang lazim digunakan pada hari ini. Ujian karbon digunakan dalam menentukan usia reaktor itu, peratus ketepatannya ialah 97.99 peratus atau hampir tepat.

Dengan penemuan itu, kita wajar berfikir sekali lagi iaitu pada lingkungan kurun Sebelum Masihi bilakah Adam mula hidup di bumi? Adakah sekitar 5000 SM seperti dalam Biblical Arkeologi atau lebih awal daripada itu seperti bukti-bukti penemuan terkini? Itu semua kurang penting, paling penting di sini ialah fakta penemuan semasa bahawa manusia pada 2 bilion tahun lalu sudah mampu dan tahu menggunakan teknologi nuklear. Belum cukup majukah manusia pada 2 bilion tahun lalu kerana sudah menggunakan teknologi nuklear? Belum cukup canggihkah manusia pada 2 bilion tahun lalu?

Bateri pra-sejarah berusia jutaan tahun

Sisi relevan, pengkaji sejarah yang juga pakar kejuruteraan elektrik Christopher Dunn dalam bukunya Giza Power Plant: Technologies of The Ancients (1998) menjelaskan, piramid Giza mampu menghasilkan getaran melalui bongkah-bongkah kristal yang ditempatkan di dalam struktur piramid, ia dimanfaatkan bagi menjana kapasiti elektrik yang tidak terbatas.

“Great Pyramid possibly created a harmonic resonance with the Earth, allowing this crystal edifice to convert the Earth's vibrational energies into an unlimited supply of electricity..”– Dunn, C (1998).

Jika manusia (orang Mesir purba) yang kira-kira 1300 tahun selepas zaman Nuh sudah mampu mencipta penjana elektrik dengan memanfaatkan teknologi kejuruteraan elektrik piramid, apatah lagi kemampuan manusia yang mula membina tamadun sejak zaman Adam hingga Nuh dan mengambil masa kira-kira 1995 tahun? Dalam tempoh 1300 tahun selepas Banjir Besar, manusia (Mesir) sudah menemui elektrik. Dalam tempoh 20 abad sebelum Banjir Besar pula, tidak mustahilkah manusia mencapai pencapaian tamadun yang maju?


Manusia yang mula berkembang sejak awal tahun permulaan Masihi sudah mencapai kemajuan tidak terhingga seperti kecanggihan yang ada pada hari ini. Memasuki abad ke-20 Masihi, pelbagai teknologi baru (baru atau diperbaharui?) mula mengisi tamadun manusia moden. Manusia (zaman Masihi) mampu berkembang moden dalam hanya mengambil masa selama 20 abad. Manakala tempoh anggaran (Sebelum Masihi) antara Adam hingga Nuh juga diandaikan mengambil masa selama 20 abad. Dalam tempoh 20 abad, tidak mustahilkah manusia (umat Nuh) sudah berada di puncak kecanggihan teknologi? Tidak mustahil kerana manusia dibekalkan naluri untuk maju.

Manusia (era Masihi) mengambil masa 20 abad untuk mencapai pencapaian teknologi seperti yang ada pada masa kini. Dalam tempoh 20 abad juga, manusia mampu melakukan pelbagai perubahan teknologi dan pada masa yang sama nilai moral terhakis secara perlahan, sudah tidak mengenal Pencipta, perlahan-lahan lupa kepada Pemilik alam semesta, diri dikuasai nafsu sehingga hilang pertimbangan, seterusnya menjadi manusia derhaka yang menunggu kemurkaan Allah.

Begitulah juga yang dilalui manusia sejak bermulanya Adam sehingga peristiwa Banjir Besar yang turut mengambil masa kira-kira 20 abad. Manusia sebelum Banjir Besar juga tidak mustahil sudah berada di kemuncak peradaban dan pencapaian teknologi. Tempoh 20 abad sudah cukup untuk manusia memajukan tamadun dan teknologi, tidak kira sama ada umat manusia sebelum banjir atau umat manusia selepas banjir, manusia mempunyai cukup masa untuk maju dalam tempoh 20 abad.


Kemuncak pencapaian manusia sebelum banjir

Seseorang manusia yang mampu membuat sampan yang tidak tenggelam semasa belayar adalah manusia yang mempunyai pengetahuan yang cukup. Walaupun hanya membina sampan kecil, ia tetap memerlukan pengetahuan dan kepakaran. Apatah lagi untuk membina sebuah kapal atau bahtera yang sangat besar. Nabi Nuh juga tidak mungkin dapat membina kapal besar tanpa pengetahuan dan kepakaran yang tinggi sehingga membolehkan bahtera itu berlayar untuk satu tempoh yang lama.

Seseorang penternak tidak mungkin akan berjaya sekiranya tiada cukup pengetahuan untuk menjaga semua ternakannya supaya sihat dan terus membiak. Ia memerlukan pengetahuan. Nabi Nuh juga tidak mungkin akan mampu menguruskan semua haiwan di dalam bahtera semasa pelayaran sekiranya baginda tidak mempunyai cukup pengetahuan mengenai haiwan.

Seseorang nakhoda atau kapten kapal juga tidak mungkin mampu belayar meredah lautan sekiranya tidak punya cukup pengetahuan pelayaran. Seseorang pakar pemakanan atau pakar kesihatan dan pakar perubatan juga tidak mungkin akan mampu memikirkan cara terbaik bagi memastikan kelangsungan spesies supaya terus sihat dan membiak meskipun dalam keadaan kekurangan sumber makanan.

Semua pengetahuan itu sangat diperlukan dalam memastikan kelangsungan hidup. Pengetahuan dan kepakaran adalah survival kit yang mesti dimiliki untuk memastikan kelangsungan hidup sesuatu spesies.

Spesies-spesies yang dibawa belayar itu akhirnya selamat mendarat sebaik sahaja banjir beransur surut. Semua itu tidak akan berhasil tanpa pengetahuan yang tinggi, pengetahuan adalah asas kelangsungan hidup. Ia juga memerlukan berkat dan keredhaan dari Maha Penyayang.

Kemampuan Nuh memastikan semua penumpang bahtera (termasuk haiwan) berada dalam keadaan sihat dan selamat adalah sesuatu yang tidak mustahil. Nabi Nuh sudah pastinya seorang manusia yang sangat pakar dalam banyak cabang pengetahuan. Ia mencakupi kejuruteraan pelayaran, zoologi, perubatan dan maritim.

Maka, dari mana pengetahuan itu diperolehi oleh Nuh. Antara jawapannya ialah, pengetahuan itu datang dari Maha Bijaksana dan disampaikan kepada Nuh melalui wahyu.

Jawapan lain pula ialah, umat manusia ketika zaman Nuh sudah berada di tahap tamadun paling tinggi dengan pencapaian pengetahuan dan teknologi yang membanggakan. Dengan itu, Nuh juga manusia bijak dan berpengetahuan kerana baginda hidup dalam persekitaran tamadun yang sangat maju dan berteknologi canggih. Melalui pengetahuan itu juga, Nuh mampu membina bahtera yang sangat besar, menguruskan haiwan-haiwan semasa pelayaran, mengemudi bahtera serta memastikan semua penumpang berada dalam keadaan sihat dan selamat. Nuh hidup dalam persekitaran tamadun canggih. Ia canggih sebagaimana menyamai kecanggihan pada hari ini.

Jika semua itu hanya andaian, bagaimana pula kita mahu menjelaskan mengenai penemuan peralatan berteknologi seperti bateri dan loji nuklear yang disahkan berusia billion tahun? Tidak canggihkah jika manusia pada berbilion tahun lalu sudah mampu menikmati elektrik, bateri dan nuklear?


Kutub

Reaktor nuklear mampu meningkatkan suhu persekitaran jika pelepasan sisanya tidak diuruskan dengan baik. Kita andaikan reaktor nuklear pra-sejarah itu wujud dalam period yang hampir dengan zaman Nuh. Maka apabila suhu bumi mula meningkat, ia akhirnya mengakibatkan kemarau di beberapa kawasan.

Udara panas hasil pemanasan reaktor nuklear pula akan bergerak sekitar bumi dan memanaskan kawasan-kawasan lain termasuk Kutub Utara dan Kutub Selatan. Seterusnya mencairkan bongkah-bongkah ais di kawasan kutub yang akhirnya mengakibatkan paras laut semakin meningkat. Kemudian melimpah, lalu banjir.


Para pengkaji Artik dan Antartik (2004) berpendapat, bongkah ais di kedua-dua kutub bumi pernah mencair sepenuhnya pada tempoh kira-kira 5.5 bilion hingga 55 juta tahun SM lalu. Satu tempoh yang cukup lama. Hal itu juga dilaporkan dalam Nature Magazine terbitan tahun 2004M. Kumpulan pengkaji itu juga mengkaji sejarah pembekuan, pencairan dan pembekuan semula kutub-kutub bumi.

Kumpulan pengkaji itu juga mendapati, pencairan kutub itu berpunca daripada perubahan suhu yang meningkat secara luar biasa dan bukan disebabkan faktor alam semulajadi semata-mata. Ia bermaksud, ada punca lain yang selain daripada faktor proses alam. Ia berkaitan kehendak Maha Berkehendaki dan perbuatan manusia zaman silam.

Penemuan para pengkaji itu sesuai dipadankan dengan reaktor nuklear pra-sejarah yang juga berusia kira-kira 2 bilion tahun lalu. Tempoh 2 bilion tahun lalu itu berada dalam lingkungan tempoh pencairan kutub antara 5.5 bilion tahun hingga 55 juta tahun. Maka, salah satu punca Banjir Besar juga bolehlah dikatakan berpunca daripada suhu loji nuklear pada zaman Nuh.

Suhu bumi yang panas sehingga menyebabkan kemarau panjang sudah tentulah menjadikan pembinaan bahtera besar oleh Nabi Nuh tidak boleh diterima oleh akal umatnya. Umat Nuh mungkin sekali berfikir bahawa satu perbuatan yang sia-sia untuk membina kapal besar ketika cuaca kering dan kemarau kerana mustahil untuk banjir. Namun, banjir itu berlaku disebabkan kehendak dan kekuasaan Allah.

Tambahan pula, bahtera Nabi Nuh dibina menggunakan kayu-kayuan dan bukan daripada besi serta tidak mengikut spesifikasi kecanggihan teknologi ada ketika itu. Lalu, Nuh diperlekehkan oleh kaumnya kerana membina kapal ‘tradisional’.

Bahtera Nabi Nuh juga mungkin sekali kapal laut terbesar yang pernah dibina pada zaman itu serta tidak karam meskipun dilambung semua gelombang besar setinggi beratus-ratus kaki. Kapal Nuh adalah jauh lebih besar daripada semua kapal yang wujud di seluruh dunia pada ketika itu. Kapal Nuh yang dibina mengikut spesifikasi ‘tradisional’ itu juga mungkin lebih sempurna daripada semua kapal berteknologi tinggi pada ketika itu. Kapal Nuh lebih besar, lebih teguh dan lebih sempurna meskipun tradisional dan dibina dalam tempoh singkat.

Tiada kapal yang selamat jika dibadai sebegini ketika berlayar

Mungkin juga ada manusia kufur di luar kawasan tempat tinggal Nuh yang cuba menyelamatkan diri dengan kapal-kapal kecil mereka, namun kapal-kapal mereka (lebih kecil dari bahtera Nuh) tidak mampu menahan gelombang besar dan angin kencang ketika banjir, lalu karam dan dibinasakan sebagai balasan kekufuran. Ada juga yang menyelamatkan diri dengan pesawat terbang, namun terhempas dibadai angin kencang ketika mencari tempat mendarat, sesungguhnya tiada tempat mendarat kerana semua tenggelam disebabkan banjir.


Selepas banjir

Sesudah banjir, apa lagi yang tinggal?
Tamadun canggih habis ditelan bumi, yang tinggal cuma kemusnahan...


Banjir Besar dalam tempoh yang lama akan menghakis gunung ganang apabila ombak membadai tebing-tebing tepian gunung semasa angin menghembus permukaan air. Tanah-tanih gunung pula akan menjadi lebih lembut apabila air menyerap masuk ke liang-liang tanah dan seterusnya runtuh sedikit demi sedikit.

Runtuhan itu pula perlahan-lahan menimbuskan dasar-dasar (penempatan tamadun) lalu tertimbus dan hilang. Tempoh banjir yang lama menjadikan lebih banyak tanah runtuh menimbusi penempatan-penempatan tamadun yang tenggelam sehingga beratus-ratus kaki.

Sesudah banjir surut, penempatan tamadun yang dahulunya megah telah tertimbus beratus-ratus kaki di bawah tanah. Lalu, menjadi kota yang hilang. Ada juga kota-kota yang terus tenggelam di dasar lautan, juga hilang dari pandangan.

Bumi pula sesudah banjir menjadi padang jarak, kosong. Tamadun perlu dibina semula berbekalkan pengetahuan. Anak-anak Nuh dan pengikut-pengikutnya dari kalangan golongan miskin dan tidak berpelajaran tinggi kemudian mendarat di kawasan-kawasan masing-masing. Ada yang mendarat di Eropah, ada juga di Afrika, Asia dan Timur Tengah. Lalu menjadi suku-suku bangsa pasca-banjir, membiak dan membina tamadun masing-masing.

Pengikut Nuh bukanlah dari kalangan golongan kaya dan bukan juga dari kalangan berpelajaran tinggi. Pengetahuan yang mereka miliki hanya sekadar ilmu asas untuk meneruskan kelangsungan hidup. Pun begitu, mereka menjejakkan kaki ke tanah semula sesudah banjir untuk terus hidup dan membina komuniti.

Akidah tauhid terus menjadi pegangan pengikut-pengikut dan anak-anak Nabi Nuh. Namun, lama-kelamaan akidah itu perlahan-lahan dirosakkan oleh bisikan dan godaan syaitan, lalu sesat semula.

Maka, timbullah ajaran politeism dan paganism yang menyembah berhala serta patung-patung tidak bernyawa. Kisah-kisah kejayaan tamadun sebelum banjir seperti pesawat terbang sebagaimana suatu ketika terus bertukar menjadi ‘dewa-dewi terbang di langit’ akibat diputar belit oleh bisikan syaitan. Manusia generasi seterusnya kembali sesat ketika sedang cuba membina semula tamadun yang hebat, ia berlaku selepas manusia mula lupa terhadap keghairahan kenikmatan dunia.


Kesimpulan

Tempoh 20 abad sudah cukup untuk mengubah manusia dalam membina tamadunnya. Jarak masa antara Adam hingga Nuh yang mengambil masa 20 abad juga tidak dapat lari daripada pencapaian tamadun yang canggih.

Kehidupan manusia selama 20 abad sepanjang Masihi (zaman kita) sudah membuktikannya. Maka, tidak mustahil umat manusia ketika zaman Nuh juga sudah menikmati kecanggihan yang sama dengan kita pada hari ini.

Manusia semakin disesatkan pada setiap detik, kemurkaan Allah pula sedang menanti di setiap sudut apabila Dia berkehendakkan azab ke atas manusia. Tidak mustahil semua itu akan berulang dan dunia juga semakin meningkat suhu. Dunia terus berputar..berpusing mengikut pusingan dan giliran. Kita pula sedang berada dalam kecanggihan, kekalkah semua ini?

Maksud Surah

[1 ] Sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, (dengan berfirman kepadanya): “Berikanlah peringatan dan amaran kepada kaummu sebelum mereka didatangi azab yang tidak terperi sakitnya”.
[2 ] dia (Nuh) pun (menyeru mereka dengan) berkata: “Wahai kaumku! Sesungguhnya aku ini diutus kepada kamu, sebagai pemberi ingatan dan amaran yang nyata;
[3 ] “Iaitu sembahlah kamu akan Allah dan bertaqwalah kepadaNya, serta taatlah kamu kepadaku;
[4 ] “Supaya Allah mengampunkan bagi kamu sebahagian dari dosa-dosa kamu, dan memberi kamu hidup (dengan tidak terkena azab) hingga ke suatu masa yang tertentu; (maka segeralah beribadat dan bertaqwa) kerana sesungguhnya ajal (yang telah ditetapkan) Allah, apabila sampai masanya, tidak dapat ditangguhkan; kalaulah kamu mengetahui (hakikat ini tentulah kamu segera beriman)”.
[5 ] (Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);
[6 ] “Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran).
[7 ] “Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, – mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau.
[8 ] “Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang;
[9 ] “Selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan.
[10 ] “Sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.
[11 ] “(Sekiranya kamu berbuat demikian), Ia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu;
[12 ] “Dan Ia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Ia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya).
[13 ] “Mengapa kamu berkeadaan tidak menghargai kebesaran Allah (dan kekuasaanNya), -
[14 ] “Padahal sesungguhnya Ia telah menciptakan kamu dengan kejadian yang berperingkat-peringkat?
[15 ] “Tidakkah kamu mengetahui dan memikirkan bagaimana Allah telah menciptakan tujuh petala langit bertingkat-tingkat,
[16 ] “Dan Ia menjadikan padanya bulan sebagai cahaya serta menjadikan matahari sebagai lampu (yang terang-benderang),
[17 ] “Dan Allah telah menumbuhkan kamu (hidup dari benda-benda yang berasal) dari bumi, dengan pertumbuhan yang sungguh-sungguh sempurna,
[18 ] “Kemudian Ia mengembalikan kamu ke dalam bumi (sesudah mati), dan mengeluarkan kamu daripadanya (sesudah dihidupkan semula untuk dihitung amal kamu dan diberi balasan), dengan pengeluaran yang sesungguh-sungguhnya?
[19 ] “Dan Allah telah menjadikan bumi bagi kamu sebagai hamparan,
[20 ] “Supaya kamu melalui jalan-jalan yang luas padanya”.
[21 ] Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya, mereka telah menderhaka kepadaku, dan mereka telah menurut orang yang harta bendanya dan anak-pinaknya tidak menambahinya melainkan kerugian (di akhirat kelak).
[22 ] “Dan mereka telah menjalankan tipu daya dengan merancangkan rancangan yang amat besar jahatnya (untuk menentang seruanku).
[23 ] “Dan (ketua-ketua) mereka (menghasut dengan) berkata: `Jangan kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu, terutama (penyembahan) Wadd, dan Suwaa’, dan Yaghuth, dan Ya’uuq, serta Nasr.
[24 ] “Dan sesungguhnya ketua-ketua itu telah menyesatkan kebanyakan (dari umat manusia); dan (dengan yang demikian) janganlah Engkau (wahai Tuhanku) menambahi orang-orang yang zalim itu melainkan kesesatan jua”.
[25 ] Disebabkan dosa-dosa dan kesalahan mereka, mereka ditenggelamkan (dengan banjir dan taufan), kemudian (pada hari akhirat) dimasukkan ke dalam neraka; maka mereka tidak akan beroleh sebarang penolong yang lain dari Allah (yang dapat memberikan pertolongan).
[26 ] Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorangpun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi!
[27 ] “Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.
[28 ] “Wahai Tuhanku! Ampunkanlah bagiku, dan bagi kedua ibu bapaku, serta bagi sesiapa yang masuk ke rumahku dengan keadaan beriman; dan (ampunkanlah) bagi sekalian orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan (dalam segala zaman); dan janganlah Engkau tambahi orang-orang yang zalim melainkan kebinasaan!”(Quran, Surah Nuh)

sumber:http://scripters.ning.com/forum/topics/tenggelam-tumbuh-semula

Tiada ulasan:

Catat Ulasan